sahabat seaqidah ila Jannah...

Sunday, May 23, 2010

Suntik Jiwa dengan Dos Qiamullail siri 1




Firman Allah SWT : "Hai orang yang berselimut(Muhammad). Bangunlah untuk solat pada malam hari, kecuali sedikit daripadanya. Iaitu seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit."(Surah Al- Muzammil:1-3)

Melalui ayat ini Allah SWT menjelaskan supaya kita hambaNya menunaikan solat Tahajud walaupun hanya satu rakaat dan itu sudah memadai daripada kita tidak menunaikan langsung. Sedarlah kita bahawa Bangun untuk menunaikan solat sunat di tengah malam ini merupakan sunnah Baginda Rasulullah saw, para sahabat dan ulama' besar. MasyaAllah...

Rasulullah saw sendiri tidak pernah meningglakan solat sunat Tahajud. Nabi saw bersabda: "Laksanakanlah solat malam, kerana solat malam itu merupakan kebiasaan bagi orang-orang soleh sebelum kamu, merupakan Qurbah(mendekatkan diri) kepada Rabbmu, merupakan keampunan bagi kesalahan- kesalahan dan pencegah daripada dosa."(Riwayat at-Tarmizi)

Betapa diberatkan solat malam ini dizaman para sahabat suatu masa dahulu, hasil tarbiyyah Baginda Rasulullah saw, sehingga para sahabat melakukannya setiap malam selama dua belas bulan MasyaAllah.... sehingga Allah menurunkan ayat al-Quran, yang memberikan kelonggaran tentang ibadah mulia ini.

Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui, bahawasanya engkau bangun (beribadat) kurang dari dua pertiga malam dan seperduanya dan sepertiganya dan orang-orang yang bersama denganmu."(al-Muzammil:20)

Begitu kasihnya Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad saw tidak mahu dijadikan tuntutan solat malam ini sebagai satu beban sebaliknya sebagai satu galakan, sebagai hadiah bagi hamba hambaNya yang ingin mencapai tahap keistimewaan, terpilih dalam kalangan yang dipilih di sisi Allah SWT.alhamdulillah...................


Allah SWT telah berfirman bahawa tiada solat lain yang lebih baik selepas solat lima waktu selain solat Tahajud. Ini menunjukkan bahawa solat Tahajud amat penting dalam diri hambaNya walaupun solat ini hukumnya sunat. "Dan dari malam itu hendaklah engkau bangun Tahajud sebagai nafilah (ibadat tambahan) bagimu, moga-moga Allah akan mengangkatmu ke tingkat yang terpuji."(Surah Al-Isra:79)


Nabi berkata bahawa ibadah malam yang dilakukan tanpa dilihat oleh seorang pun adalah ibadah yang paling mulia di sisi Allah. Orang tak nampak. Kita buat bukan kerana hendak orang tengok kita buat ibadah sunat. Saingan ibadah Tahajud ini adalah peperangan dengan gangguan nafsu dan syaitan yang ada dalam diri sahaja. Tidak ada gangguan manusia di sekeliling. Ini amalan rahsia antara kita dengan Allah. Amalan eksklusif. Ibadah ini membuktikan keikhlasan yang tinggi sebab tak ada paksaan daripada orang lain ke arah membentuk jiwa yang suci dan bersih. Demikian dijelaskan oleh Ustaz Mohd. Shukri Samsudin, merangkap Setiausaha Khas merangkap Pegawai Khas Menteri Besar Negeri Sembilan.

Ketika ditemubual tentang ibadah solat Tahajud ini berkata, "sebagai hamba Allah yang melaksanakan urusan duniawi, saya lebih suka menggunakan 'aktiviti luar waktu' daripada menggunakan perkataan 'overtime'(kerja lebih masa)

'Over time' bermaksud kerja yang dipaksa buat untuk mendapatkan pendapatan lebih, disuruh buat oleh ketua. Mahu tidak mahu mesti buat. Manakala aktiviti luar kerja bermaksud sukarela. Kita gembira nak buat. Saya cuba aplikasikan pendekatan ini melalui galakan Allah SWT kepada hamba-hambaNya dalam menunaikan ibadat Tahajud. tidak diwajibkan tetapi diberi pilihan bagi orang yang inginkan keistimewaan di sisi Allah berbanding solat lima waktu aktiviti wajib dalam waktu yang tertentu yang jika ditinggalkan berdosa besar.

Jadi, andai kita mahu menjadi manusia hebat di sisi Allah dan Rasul maka marilah kita pilih ibadah cara ini. Ibadah yang sangat makbul.."

Dalam siri seterusnya insyaAllah akan ana kongsikan pengalaman Ustaz Mohd Shukri dalam mempraktikkan qiamullail sejak di bangku sekolah lagi.

Sumber: Al-Quran dan terjemahan dan majalah anis

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...